Serai terkenal sebagai salah satu ramuan masakan di
negara-negara Asia . Serai atau juga dipanggil
serai makan dengan nama saintifiknya cymbopogon citrarus dari keluarga
Gramineae juga mempunyai khasiat tersendiri. Ðalam bahasa Inggeris pula, ia
dipanggil lemon grass, Cina (heong mau), Filipina (tanglad), Laos dan Thailand
(thakai), Vietnam (xa) dan German (zitronengras).
Ði Malaysia ,
serai bagaikan kemestian untuk menjadi sebahagian ramuan utama dalam kebanyakan
masakan terutama sajian lauk berkuah. Serai adalah daripada jenis rempah bumbu
berbentuk batang yang memberi rasa harum dan segar pada masakan. Yang
menimbulkan aroma harum sebenarnya ialah bahagian batangnya yang berwarna
putih, selalunya sepanjang 10sm atau lebih digunakan. Selepas dibersih, batang
serai ditiriskan dan kemudian ditumbuk atau diketuk sebelum dimasukkan ke dalam
masakan.
Batang serai sesuai dipadankan dengan lada, santan, lengkuas
dan bawang putih. Ia juga boleh diracik-racik untuk menjadi sebahagian rencah
kerabu atau perisa hiasan bagi mendapatkan aromanya. Haruman daripada batang
serai tentunya menimbulkan aroma yang akan menambahkan tarikan dan selera
makan. Selain itu, serai juga digunakan untuk menghilangkan hamis kerang, lala
dan makanan laut yang lainnya.
Selain popular dalam masakan, serai juga digunakan dalam
salah satu bauan yang boleh ditemui dalam lilin, pewangi dan juga sabun. Ia
juga dikatakan berguna sebagai pencegah serangga ringan. Lebih daripada itu,
serai turut menyediakan pelbagai kebaikan dari segi kesihatan.
Serai merupakan tanaman yang boleh tumbuh di kawasan bersuhu
tropika dan subtropika. Ia boleh bertahan selama tiga hingga empat tahun dan
dituai setiap tiga hingga empat bulan. Serai banyak tumbuh di Asia Tenggara,
Selatan India , Sri Lanka , Afrika Tengah ,
Brazil , Guatemala dan Hindia Barat.
Banyak bahan dalam serai yang membuatkan herba ini bukan
sahaja sesuai digunakan sebagai ramuan makanan, malah berguna untuk tujuan
perubatan tradisional. Ekstrak minyak daripada serai mempunyai khasiat ubatan
yang tersendiri. Menurut kajian, pokok serai mengandungi pelbagai jenis minyak
yang diperlukan oleh tubuh badan manusia. Minyak ini mengandungi beberapa
campuran seperti citral, limonena dan methyl heptonen. Ahli-ahli sains juga
telah mengasingkan dua jenis bahan kimia daripada pokok serai iaitu campuran
Cymbopogonol dan Cymbopogone.
Minyak aromaterapi serai ini dikatakan mengandungi
bahan-bahan seperti analgesik (mengurangkan rasa sakit), antikemurungan,
antimikrob, antipiretik, antiseptik, astrigen, bactericidal, karminatif,
pewangi, diuretik, febrifuj, fungicidal, galaktogogue, insecticidal, nervine,
sedatif dan tonik.
Mengurangkan sakit dan inflamasi
Bahan analgesik dalam minyak serai mampu mengurangkan sakit
dan inflamasi. Ia juga mampu melegakan sakit otot, sendi, sakit gigi dan sakit
kepala. Ia turut mengurangkan sakit badan yang diakibatkan daripada senaman
yang dilakukan secara tiba-tiba.
Bahan antikemurungan dalam minyak serai boleh merangsang
keyakinan, semangat, kekuatan mental dan melawan kemurungan. Ia amat sesuai
untuk mereka yang mengalami kemurungan yang diakibatkan daripada pelbagai
sebab.
Bahan antimikrob dan antibakteria dalam minyak serai
membuatkan ia sesuai digunakan untuk menyekat pertumbuhan mikrob dan bakteria
di dalam atau di luar tubuh. Ia dikatakan boleh menyekat jangkitan bakteria di
kolon, perut, saluran urinari, luka, sistem pernafasan dan lain-lain lagi.
Tambah susu ibu, halang bayi dari jangkitan
Bahan galaktogogue dalam minyak serai juga amat baik untuk
wanita. Ini adalah kerana bahan galaktogogue adalah agen yang mampu
meningkatkan pembentukan susu dalam payudara. Ia amat sesuai untuk ibu yang
sedang menyusui bayi.
Penawar sakit kuning
Menurut Pegawai Laboratori Fitoubatan, Institut Biosains,
Universiti Putra Malaysia (UPM), Tajuddin Abdul Manap, serai boleh membantu
mengubati sakit demam kuning. Bagi merawat demam kuning, secekak pokok serai
direbus dalam bekas mengandungi sebaldi air. Keseluruhan pokok termasuk akar
dan daunnya direbus sehingga air rebusan menggelegak. Selepas beransur suam, ia
kemudian dijadikan air mandian dan sebaik-baiknya tidak dibilas dengan air biasa.
Amalkannya tiga kali sehari iaitu setiap kali waktu mandi sehingga demam kuning
benar-benar sembuh.
Mandian air rebusan serai ini juga sangat sesuai untuk
ibu-ibu dalam pantang kerana ia boleh menghilangkan bau hamis badan.
Mengatasi masalah angin
Bahan antipiretik dalam minyak serai dikatakan boleh merawat
demam. Ia hampir sama dengan bahan febrifuj tetapi ia amat berkesan untuk
menurunkan demam yang tinggi. Bahan karminatif dalam minyak serai dikatakan
mampu mengawal masalah angin dalam badan. Ia bukan sahaja mampu mengurangkan
angin daripada usus tetapi mampu menghentikan pembentukan angin dengan lebih
lanjut.
Rawat masalah haid dan loya
Kajian juga telah menunjukkan bahawa serai memiliki bahan
antibakteria dan antikulat. Dalam perubatan tradisional, serai yang dicampurkan
dengan lada hitam boleh merawat masalah haid dan loya. Jika serai diminum
sebagai teh, ia juga adalah diuretik yang paling berkesan.
Serai juga dikatakan herba pencuci yang mampu membantu
menyahtoksik hati, pankreas, buah pinggang, pundi kencing dan saluran
pencernaan. Ia juga dikatakan mampu menurunkan asid urik, kolesterol, lemak
berlebihan dan toksin lain di dalam tubuh. Penggunaan serai juga dikatakan
berupaya merangsang pencernaan, pengedaran dan susu ibu. Malah, masalah gastroenteritis
juga boleh diringankan.
Mengurangkan tekanan darah
Serai juga mampu memperbaiki kulit dengan cara mengurangkan
akne dan jerawat. Ia bertindak menegapkan otot dan tisu. Ia juga dikatakan
mampu mengurangkan tekanan darah. Caranya adalah dengan meminum air serai yang
telah direbus. Serai amat terkenal dengan kesan memberi ketenangan yang mampu
melegakan insomnia dan tekanan.
Membantu mengawal kolesterol
Serai juga membantu mengurangkan kolestrol iaitu asid lemak
tepu yang terdapat dalam badan menerusi pemakanan. Bagi mengurangkan
kolesterol, tiga atau empat batang serai yang telah dibuang akar dan daunnya
diracik-racik kiub terlebih dahulu sebelum direbus. Segelas air rebusan itu
kemudian diminum perlahan-lahan atau sedikit demi sedikit dua kali sehari iaitu
setiap pagi dan petang.
Selalunya, mereka yang mengamalkannya dapat melihat kesan
pengurangan kolesterol dalam beberapa minggu. Tetapi pada waktu yang sama pengambilan makanan berkolesterol tinggi perlu
dielakkan.
Mencegah
kanser
Satu kajian yang
dilakukan mendapati bahawa setiap 100gm serai yang direbus mengandungi beta
karotena, sejenis antioksidan yang dipercayai oleh ahli saintis mampu mencegah
kanser. “Citral” ada kunci utama yang memberikan rasa dan bauan seakan lemon di
dalam sebahagian jenis herba atau rempah ratus seperti serai (Cymbopogon
citrates), melissa (Melissa officinalis) dan verbena (Verbena officinalis).
Menurut Dr. Rivka
Ofir dan Prof. Yakov Weinstein dari Jabatan Microbiologi dan Immunologi di
Universiti Ben Gurion (BGU), hasil daripada penyelidikan mendapati “citral”
akan menyebabkan sel-sel kanser ini “membunuh diri sendiri” dengan mengunakan
“apoptosis”, sejenis mekanisme yang dikenali sebagai sistem sel mati. Hanya
dengan meminum sebanyak satu gram air rendaman serai segar sudah cukup untuk
“citral” telah memaksa sel-sel kanser membunuh diri di dalam bekas kajian.
Para penyelidik
di Universiti Ben Gurion (BGU) memeriksa keberkesanan”citral” ini pada sel-sel
kanser dengan memasukkannya pada kedua-dua jenis sel iaitu sel-sel kanser dan
sel-sel yang sihat dan dibiarkan membiak dalam bekas kajian. Quantiti “citral”
yang dimasukkan adalah satu gram sama seperti kandungannya didalam secawan teh
panas yang direndam bersama serai dan didapati “citral” ini hanya membunuh
sel-sel kanser sahaja manakala sel-sel sihat tidak mengalami sebarang
kerosakan.
Penemuan ini
telah dipaparkan didalam sebuah journal sains iaitu “Planta Medica”, di mana
journal ini mengetengahkan tentang penyelidikan sampingan atau alternatif dan
kegunaan rempah ratus. Sejurus selepas penemuan ini berjaya, ianyanya
dipaparkan sekali lagi di dalam surat khabar yang paling popular di Israel.
Bagaimana
“citral” ini berfungsi? Tiada siapa pun ketahui akan tetapi para penyelidik
dari Universiti Ben Gurion (BGU) mempunyai teori terhadapnya.
“Dalam sel di
dalam badan kita, terdapat satu sistem gen yang mengawal sistem sel-sel mati.
Sekiranya sistem tersebut salah, sel-sel di dalam badan kita akan membahagi
dengan tidak menentu dan seterusnya menyebabkan terbentuk sel-sel kanser. Di
dalam sistem sel-sel yang sihat, sekiranya sistem tersebut tidak berjalan
dengan betul – sebagai contoh, bila mendapati sel-sel tersebut mengandungi
gen-gen yang rosak maka sel-sel tersebut akan menjadi sel-sel mati dalam badan.
Penyelidikan ini berupaya untuk menjelaskan kita tentang kebaikan serai,” kata
Weinstein.
Kejayaan dari
hasil penyelidikan ini telah menemui satu kesimpulan bahawa serai mengandungi
“citral” yang menjadi bahan untuk menentang sel-sel kanser di dalam badan kita.
Menentang
keratomycosis (inflamasi kornea)
Kajian yang turut
dilakukan oleh Institut Penyelidikan Makanan dan Nutrisi itu juga menunjukkan
bahawa minyak serai juga berpotensi sebagai ubat sapu bagi menentang
keratomycosis, iaitu sejenis inflamasi kornea yang berkaitan dengan penglihatan
kabur dan rasa panas.
Antikemurungan
Malah, serai juga
boleh digunakan sebagai bahan untuk memastikan anjing tidak menyalak dengan
berlebihan. Caranya adalah dengan menyemburkan bau serai pada anjing untuk
mencegah ia daripada menyalak atau untuk mengurangkan kelakuannya.
TIPS :
Melebatkan rambut
Rambut yang lebat
dan panjang sentiasa menjadi idaman wanita. Anda tidak perlu menghabiskan
banyak wang untuk membuat rawatan rambut di pusat-pusat kecantikan. Ada petua
tradisional yang mudah dan murah untuk anda cuba. Ambil beberapa batang serai
dan tumbuk sehingga pecah. Saya sarankan anda gunakan anak lesung batu untuk
menghancurkan batang serai. Rebus batang serai yang dihancurkan dengan air
hingga mendidih. Apabila air rebusan telah sejuk atau suam-suam kuku, bolehlah
disapu ke seluruh rambut. Sapu
hingga rata, pastikan air rebusan serai meresap ke kulit kepala. Perap rambut
selama lebih kurang dua jam, kemudian bolehlah dibilas dengan air biasa.
Amalkan sekurang-kurangnya sekali seminggu untuk mendapatkan hasil yang
memuaskan.
TIPS :
Kurangkan Nyamuk
Sedikit masa
dahulu, bro Manntrex dari SIM berkongsi tips untuk mengurangkan nyamuk yang
menggunakan serai sebagai bahan utama. Terima kasih kepada bro Manntrex kerana
sudi berkongsi ilmu. Kepada yang berminat, sila rujuk entry Tips kurangkan
nyamuk.
Memang tidak dapat dinafikan terdapat pelbagai khasiat
serai, tidak kiralah sama ada digunakan secara mentah mahupun direbus dan
diekstrak minyaknya. Namun begitu, penggunaannya perlulah mendapat nasihat
daripada pengamal perubatan terlebih dahulu bagi mengelakkan kemudaratan di
kemudian hari.